Sebutir pasir di Angkasa Raya



 Papa

belikan sebiji bola

cantik

pelbagai rona

merah, biru dan hijau


Ditimang-timang dengan penuh hati dan cermat

maklum masih baru

sayang takut melecet terguris

debu-debu melekat dibuang habis

dilap kain basah biar bersih berkilat

timbul dan hidup warnanya


Anak-anak teman dan jiran diajak

sama-sama berseronok menikmati 

bola yang bergolek melayang hinggap di dada

makin ramai makin galak

sepak terjang makin menjadi

merebut ingin memiliki

leka dan asyik dengan mainan dunia


Bola cantik

pelbagai rona

merah, biru dan hijau

makin pudar 

sesekali kempis diisi dipompa

buat disepak terjang lagi


Ada ketika terfikir juga

sampai bila bola cantik mampu bertahan

dipompa ditampal 

pasti hayat ada hujungnya

dan tika itu

tiada lagi nak disepak terjang


Ya..memang ada sejuta bola di sana

tapi tak akan sama dengan 

bola milik kita ini

hanya satu tiada lain

cantik

pelbagai rona

merah, biru dan hijau



* The Pale Blue Dot adalah gambaran imej planet Bumi yang dirakam pada 14 Februari 1990 oleh Voyager 1 dari jarak 6 biliun kilometer


Dr Muhammad Ridha 

Semenyih Parklands

21 September 2021


 



Comments

Popular posts from this blog

Lapar menjadi Bahasa, Haus menjadi Doa

Bangsaku

Barah