Piyala
Pertama kutatap wajahmu
di sela wajah-wajah kilau
kilau jadi kelam di balik indahmu
indahmu buat hatiku luluh
meresap suatu rasa tiada terucap
sedetik aku terpana
lalu kubuka pintu hati
menikmati indah gemerlap
permata sari
Aku yakin
kau bukanlah seperti wajah-wajah
yang pernah melakar kisah
sekalung mutiara di leher jinjangmu
membuka rahsia
Kucuba menundukkan pandangan
tapi ramping pinggangmu
mengunci hatiku
gemuruh bahang amarah
meniti kakimu yang mulus panjang
Kucurahkan kasih tiada terbendung
separuh nyawa
namun hasrat tidak kesampaian
kulimpah segala yang tersisa
kukucup bibirmu
dalam haus
kuteguk manis kasih
agar kurasa apa yang kau rasa
dan kau rasa apa yang kurasa
sebati
tiada maya
terbang
dalam khayal
camar sejoli
tersentakku dari lamunan
kurangkul pasrah kasihmu
kemas penuh cemas
agar tidak jatuh berderai di bebatuan
Ibn Abdullah
18 Ogos 2021
Beranang
Comments
Post a Comment