Kebetulan

 


                                                                                                        Photo by David Alberto Carmona Coto


Dari satu titik yang maha padat dan panas
Satu ledakan 13.8 biliun tahun
Kembang dan berkembang tiada henti
Hanya satu kebetulan.

Dari kepulan asap dan gas yang legap, tebal serta panas
Menjadi padat dan kukuh
Segala planet dan bumi terbentuk
Itupun satu kebetulan.

Ion hidrogen bertemu oksigen
Dalam kadar yang jitu
Dalam kondisi yang tepat
Tiada lebih tiada kurang
Terbentuklah air
Sumber segala kehidupan
Sememangnya satu kebetulan.

Atmosfera purba sarat gas metana dan ammonia
Diganding panas mentari dan air lautan mega
Persenyawaan organik bisa terjadi
Melahirkan hidupan sel tunggal
Ya..kebetulan.

Dari yang tunggal lahirlah yang berbilang
Tumbuhan dan segalanya
Fotosintesis dan respirasi
Atmosfera toksik diganti oksigen
Agar bisa dihirup udara nan segar
Kebetulan.

Bumi yang muda
Masih rawan masih punya gegar
Lipatan dan mampatan plat tektonik
Memasak bumi dengan rantaian gunung yang kukuh
Agar bumi lebih matang
Kebetulan..tiada lain selain kebetulan.

Begitulah tujuh lapisan bumi 
Tujuh petala langit
Dipisahkan antara langit dan bumi
Lalu hujan pun turun
Dipenuhilah dengan segala macam tumbuhan
Segala macam haiwan
Berpasang-pasangan
Betul..satu kebetulan.

Lalu ditempatkan seorang khalifah
Tuk mengurus hamparan nan luas
Asal dari tanah tapi..
Amat mulia dan besar amanah
Diganding pasangan buat peneman
Dari setitis air pertemuan yang menghasilkan
Seketul darah tertanam kukuh di alam yang gelap 
Segumpal darah menjadi daging dan tulang belulang
Lalu ianya dibungkus daging
Membesar dengan segala kejituan
Menjadi penerus zuriat
Dilahirkan bila genap waktunya
Dengan proses yang teramat rumit dan teliti
Sepertinya sudah diperkirakan untuk
Menerima kelahiran seorang yang bernama..MANUSIA.

Manusia..serumit alam luas ini
Dalam kerumitan ada keteraturan yang jitu
Setiap jasad dikendali 12 sistem
12 sistem mengatur 78 organ
78 organ dengan tugasnya
Berfikir, bernafas, bergerak
100,000 km salur darah menbawa nutrisi dan oksigen 
Lalu mengambil bahan sisa dari sel pulang ke jantung
Sepasang peparu memberi nafas baru
Terdiri daripada 600,000,000 unit kantung udara
Memaksimumkan pertukaran O2 dan CO2
Begitulah bolak-balik
Sel darah itu sendiri, berbentuk cakera sungguh unik
Agar ratio luas permukaan kepada isipadu optimal 
Memaksimumkan pertukaran O2 dan CO2
Sepasang ginjal
Setiap satunya terdiri daripada 1,000,000 unit penuras
Berperan membuang kumuh hasil sisa proses biokimia
Yang terjana dalam 37.2 trilliun sel
Agar jasad kekal suci murni
60km saraf menjadi wayar 
Deria rasa, bau, sentuh, dengar malah lihat
Apatah lagi merangkak, berdiri dan berjalan
Dibantu lebih 206 tulang dan 600 otot 
Otak dengan 100 biliun saraf dengan lebih 100 quadriliun pertautan
Semua ini bermula dengan satu sel
Satu sel yang terkandung kod genetik
DNA
Yang menentukan siapa awak siapa saya
Yang lebih kecil dari itu
Atom dengan cakerawalanya sendiri
Sepertimana planet dan bumi berputar mengelilingi matahari
Sungguh teliti sungguh menakjubkan..tapi ianya semua
Satu kebetulan.

Kebarangkalian untuk setiap satunya terjadi dengan spontan
Apalagi satu persatu dalam urutan yang kemas
Teramatlah mustahil
Semuanya harus wujud serentak 
Kerana tanpa salah satunya yang namanya MANUSIA..
tak mungkin dapat hidup walau sesaat
Nah..apa kebarangkalian setiap satunya terjadi spontan dengan kemas
Sel, tisu, organ, sistem dan jasad?
NIHIL!

Persetan dengan apa yang para saintis bilang
Persetan dengan apa yang para ahli matematik bilang
Persetan dengan semua cendekiawan
Semua ini hanyalah..
SATU KEBETULAN.






Comments

Popular posts from this blog

Lapar menjadi Bahasa, Haus menjadi Doa

Picagari

Barah